Monday, 27 May 2013


Hidup ini indah kalau kita mampu mencipta sukses dan bahagia dari dalam. Hidup ini indah untuk dinikmati detik ini juga. Berpagi mencari rezeki di bumi yang dilimpahi nikmat yang tidak terperi. Semua hasil bumi adalah rezeki dari Ilahi untuk kita, insan yang tahu mensyukuri. Bisnes adalah untuk mencari duit. Duit untuk 
dibelanjakan kepada diri, keluarga dan masyarakat yang memerlukan.

Tuesday, 14 May 2013


Belajar menyukai kehidupan kita. Menghayati patah patah indah dalam bait lagu mengasyikkan juga adalah sebahagian dari keseronokan dalam menjalani kehidupan terutama dalam berbisnes. Bisnes itu seronok. ia bukan sesuatu yang stress.
Bagaimana kita melakukan satu perkara adalah menentukan bagaimana kita melakukan semua perkara.

Berniaga kerana berani kaya. Orang berjaya berniaga kerana dorongan untuk melakukan apa yang kita suka. Dorongan untuk membantu orang ramai. Dorongan untuk membantu diri sendiri dan keluarga

Monday, 6 May 2013


Malaysia ini negara kita. Untaian zamrud khatulistiwa. Banyak peluang telah tersedia. Tinggal kita memanfaatkannya aja. Usah rebut peluang. nanti kita bercakaran. Raikan perbezaan. Usah perbesarkan. Cari persamaan. himpun kekuatan dan kita boleh melunjur laju ke depan.

Saturday, 4 May 2013


Kita tidak dapat menarik kuat apa yang kita mahu. Kita hanya dapat menarik apa yang sepadan dengan diri kita pada masa itu. Betulkan diri. Buat perkara betul. Buat betul betul.

Friday, 3 May 2013


DIRI KITA. Inilah modal bisnes yang tidak terbanding dengan modal modal lain. Orang beli diri kita dulu. Kemudian barulah mereka membeli produk kita. Di mana ada peluang, PERKENALKAN DIRI. Usah tergesa menjual produk. Bila orang yakin kita adalah orang bisnes berkredibiliti tinggi maka urusan bisnes lainnya akan menjadi mudah.

Kemahiran berbual bual adalah sangat penting dalam bisnes. Ia berbeza dengan berbual bual untuk tujuan bersosial. Kemahiran ini memerlukan kita kecilkan ruang peribadi. Kongsi ruang itu dengan orang luar. Kemahiran berbual bual ini dapat dipelajari. Ianya sama erti dengan kemahiran mempopularkan diri dalam bisnes.

Orang Optimis berpengaruh kerana mereka menampilkan gaya dan imej meyakinkan. Apa kunci jadi orang optimis? Usah berfikir, meramal mahupun bercakap tentang perkara perkara buruk. Berfikir, bercakap, merasa dan bertindak perkara baik baik sahaja.

Suami adalah lebih dari teman baik. Dia dekat di hati. Dia adalah orang yang mengerti hasrat kita lebih dari orang lain. Suami adalah pendorong yang akan menjadikan kita lebih bersemangat untuk berjaya. Benar, kita mesti melakukan sendiri tetapi dia sentiasa ada di sisi. Suami akan menerima kita seadanya, sentiasa memaaf, sentiasa membimbing. Dia suluh benderang pandang jalan kejayaan. Dia telinga sabar yang sentiasa mendengar. Dan, walau apa pun yang berlaku, kita tetap mencintai dia buat selamanya. Tidak ada apa yang akan berubah walaupun sebagai Bisneswoman, kita sudah tinggi terbang di persada jaya.

Thursday, 2 May 2013


Ilmu itu perlu didatangi. Ilmu tidak mendatangi. Sedia untuk belajar. Sedia untuk diajar. Sedia pula untuk mengajar. Saya dan teman2 sentiasa berusaha menambah ilmu untuk berjaya. Siapa yang mahu kepada dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang mahu kepada akhirat hendaklah dengan ilmu. Siapa yang mahu kepada dunia dan akhirat hendaklah dengan ilmu.

Apa yang kita tuai dari kehidupan ini adalah apa yang kita tanam di dalamnya. Jalur kehidupan bagaimana yang kita pilih menentukan siapa kita. Kehidupan adalah seumpama permainan catur. Siapa yang dapat melihat jauh ke hadapan, dia lah yang menang. Didik diri untuk menghargai nilai nilai yang bermanfaat bagi kita. Semai kebaikan setiap masa kerana kebaikan jua yang bakal kita tuai nanti.


Pilih lubuk bisnes yang dengannya kita dapat buat banyak duit. Bisnes buat duit bukan sekadar gaya. Bisnes buat duit kadang kadang tidak popular. 93% bisnes yang dibina atas dasar agak agak dan sangka sangka tutup setelah 3 tahun beroperasi. Bisnes mesti buat duit.Duit yang banyak menjadikan pemilik bisnes itu nampak pintar bergaya.

Produk dan servis yang kita tawarkan mesti mencipta nilai dan menambah nilai. Pilih nilai itu dan buktikan nilai itu.  Teman teman yang pernah bersama tahu akan kemeriahan nilai itu.

Dalam bisnes, gunakan Bahasa Bisnes. Dalam pergaulan profesional jadikan rakan bisnes kita wanita berdarjat. Panggil mereka dengan gelaran sewajarnya. Tidak perlu berkakak berabang.  Ia seumpama mengingatkan orang itu tentang umur mereka. Ianya tidak profesional. Belajar Bahasa Bisnes. Bahasa Bisnes adalah alat penting buat duit.

Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w mula berniaga dengan bisnes perkhidmatan. Ia tidak perlu modal besar. Gunakan pemodal sebagai rakan bisnes. Guna teknik OPM (Other's People Money). Nabi tidak berkongsi bisnes dengan kaum kerabat, sahabat akrab dan teman taulan. Nabi tidak kenal pun rakan bisnes awalannya. Baginda diperkenalkan kepada rakan bisnes. Ermmm terasa sedang berbisnes gaya Nabi pula sekarang ini.

Kita hanya menang bila orang lain juga menang. Kita tidak bersaing membina mahligai atas pusara teman teman. Kita berlumba lumba untuk berjaya. Doakan teman2 berjaya bersama dengan kita. Puncak kejayaan cukup luas untuk semua orang. Doakan kebaikan untuk semua dari kita.

Tuesday, 30 April 2013


Kegembiraan di dalam rumah tidak sempurna kalau tidak bergema di dalam hati ibu. Kejayaan dalam kerjaya tidak bermakna tanpa ada kesucian perdamaian dalam rumah tangga. Kesenangan pergaulan yang baik dalam rumah tangga adalah syurga dunia. Ia mesti jadi cita cita terpenting bagi kita bisneswoman yang berjaya.

Suami kata, "Lelaki itu sebenarnya lemah; dalilnya wanita diciptakan untuk menolong".

Kelab Berani Cantik mengimpikan wanita bergelar cikpuan yang sopan dalam berkata, tahu menjaga diri serta dilihat anggun terampil.Wanita yang tahu darjat diri sendiri. Wanita yang tahu upaya akalnya. Kemudian bekerja keras, bekerja cerdas dan bekerja ikhlas menurut darjat dan upaya akalnya.

Sunday, 28 April 2013


Bisnes berkembang secara bertahap. Pertama: Bersihkan kebun dulu agar lalang tidak merimbun. Cara terbaik adalah bersihkan hati. Apa yang kita sangka itulah yang kita dapat. Kedua: Gemburkan tanah. Baru tanam biji benih. Bisnes kecil tapi layan pelanggan seumpama orang besar. Ketiga: Ada edah masa untuk tunggu waktu menuai. Ikat perut. Bersabar. Jagai bisnes sebaik cara. Beri masa untuk berjaya. Kita tidak berbisnes cepat kaya. Bisnes berkembang setelah melepasi pelbagai dugaan, penolakan dan cabaran.

Saturday, 27 April 2013


Bijak membawa diri dan tahu dengan siapa kita berkomunikasi. Sopan berkata supaya tiada hati yang tercedera. Bijak berkata, aturan adab membezakan siapa kita. Bersama YB Pengerusi MARA yang sentiasa mesra, tidak mengenal usia dan strata.

Ramai orang ingin jadi Bisneswoman Celebrity. Ada baik dan banyak buruknya. Saya berbeza. Saya Bisneswoman. Zul Fazli adalah Celebrity Make Up Artist.

Friday, 26 April 2013


Ikon Berani Cantik, Zul Fazli Suhadi mengajar petua untuk cantik:
1. Berdisiplin 
2. Jaga Kebersihan
3. Hati mesti Bersih. Maafkan semua orang. Usah ada iri hati
4. Senyum sentiasa.
5. Belajar ilmu Kecantikan.

Tuesday, 23 April 2013


Pelanggan adalah "boss besar" yang tiada dalam carta organisasi syarikat.

Kosmetik dan pemakanan kesihatan adalah produk bukan keperluan harian. Bukan mudah untuk pelanggan berterusan buat pembelian berulang. Majoriti yang terlibat telah terbakar tangan. Hanya yang berkemahiran cekal bertahan. Kemahiran boleh dipelajari.

Bisnes kecil untung besar. Bisnes gaya pekedai runcit. Bina hubungan rapat dengan pelanggan. Tambat hati dengan memuliakan mereka.

Empat langkah AIDA: 
1. Bakal pelanggan mesti diberitahu kita wujud. Syarikat kita wujud. Produk kita wujud.
2. Lakukan sesuatu agar pelanggan kita berminat. Fikir untuk bantu pelanggan, pelanggan, pelanggan. Bukan 'apa yang mahu jual'. Gelombang minda akan memancarkan keikhlasan diri. Sopan santun dalam berkata adalah seumpama pakaian baru yang enak dipandang.
3. Buat sehingga pelanggan kita asyik memikir mikir, terfikir fikir mahu membeli produk kita. Lintasan produk kita sentiasa ada dalam bayangan minda bawah sedar mereka.
4. Buat sampai mereka betul betul MEMBELI.

Ibu segala persepsi dalam bisnes adalah KREDIBILITI.

Pandang masa depan bisnes yang kita ceburi. Apakah bisnes itu mempunyai 3 ciri berikut:
1. Margin keuntungannya mungkin kecil tetapi berpanjangan, mengalir sepanjang tahun.
2. Bisnes dapat berkembang, makin lama makin dapat keuntungan.
3. Ia dapat cipta peluang bisnes baru yang berkaitan.

Monday, 22 April 2013


Saya berniaga dengan Strategi Bercerita. Saya berkongsi  apa yang saya guna. Saya ceria sepanjang masa kerana saya tahu produk berkualiti yang saya guna banyak manfaatnya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Produk khusus untuk mereka yang BERANI CANTIK.

Apabila kita jual produk, kita mesti berusaha sampai pembeli rasa "terhutang budi" dengan kita. Kita telah berkongsi produk yang benar benar mereka perlukan, menyelesaikan masalah mereka dan membawa manfaat kepada mereka. Ini membawa kepada 'EKONOMI TERIMA KASIH'. ETK ini besar manfaatnya untuk jangka masa panjang, bisnes berterusan dengan pembelian berulang.

 Modal Sosial adalah modal yang penting dalam kejayaan. Salah satu modal sosial yang tinggi nilainya adalah JUMLAH RAKAN dan TAULAN ditempat tempat penting dalam rangkaian bisnes.

Kemahiran MELEBARKAN NETWORKING adalah skill menjadikan diri kita seorang yang pandai bercakap dan berbual bual, sehingga orang mahu menjadi rakan kita. Bersama Dato' Yusmira, Pengasas produk2 YUSMIRA.

Berguru dengan PAKAR. Celebrity Mekap Artis Zulfazli Suhadi bersetuju menjadi ikon dan penasihat Kelab Berani Cantik.

Sunday, 21 April 2013


Cantik mesti seiring dengan ketulusan hati. Seumpama kata Dr Nalinee Paiboon, Pengasas Giffarine, "Saya bukan wanita kaya, saya wanita bahagia"

Bisnes adalah bersahabat. Sahabat akan memudahkan perjalanan orang bisnes. Raikan sahabat dalam barisan Kelab Berani Cantik.

Rezeki datang secara berkala. Sekali sekala terlepas rezeki, usah risau. Sabar dalam menunggu. Yang penting sentiasa berada ditempat yang sepatutnya. Bersyukur. Rezeki lain pasti akan datang, datang dan datang. InsyaAllah. Bisnes adalah bersahabat.

Personaliti Diri adalah perlambangan peribadi kita sebagai Bisneswoman. Kita mesti yakin diri, selesa didekati dan mesra di hati. Dalam membina keyakinan diri, wajah memainkan peranan. Wajah boleh ditata rias oleh Jurusolek. Malam Wedding Glams 2013 membuka tirai di Hotel Grand Riverview Kota Bharu dan saya bakal bergabung dengan  Jurusolek tersohor Malaysia Zulfazli dalam program pencarian Jurusolek yang akan diadakan di seluruh negara. Inilah tekad BERANI CANTIK 2013.

Friday, 19 April 2013

Orang bisnes mesti mempunyai puak masing masing. Kita berniaga dengan puak kita.

Thursday, 18 April 2013


Tempatkan produk dalam minda pelanggan. Biar produk berkualiti sebati dalam hati. Pelanggan tertambat dan sentiasa ingat. Produk kekal bertakhta dalam minda, kemana pun pelanggan pergi.

5 MITOS karut tentang Usahawan. 
1. Kena ada Darah Usahawan. 
2. Perlu ada banyak wang. 
3. Mesti dapat sokongan subsidi kerajaan.
4. Berjaya masa ekonomi berkembang.
 5. Takdir 'mujur dan nasib baik' telah menentukan.

"Ya Allah, perbaikilah Agamaku yang menjadi pokok urusanku, Lapangkan untukkku dalam Rumahku dan berkatilah dalam Rezekiku".

Bisnes memerlukan kita jadi:
1. Duta Profesional Produk 
2. Bisneswoman yang boleh jadi ikutan rangkaian
3. Berpotensi kembang payung bisnes ke seluruh wilayah.

Usah berebut peluang. Belajar kemahiran cipta peluang. Cipta peluang bukan cipta produk baru, Cipta peluang datang dari melihat dengan sudut pandang berbeza. Cipta peluang  juga cepat datang dengan berteman kenalan baru.

Sunday, 14 April 2013


Ini pesan Dr Azizan Osman. Guru kejayaan saya.
Kita hanya berfikir apa yang kita mahu buat. Kita tidak membanding diri dengan sesiapa. Kita selesaikan urusan bisnes kita bukan sibuk mahu tahu urusan bisnes orang lain. Kita memilih rakan strategik yang boleh buat perkara yang kita tidak mampu lakukan sendiri. Kita  ada TTA (Things to Assign). Kita tidak mencari rakan selesa yang sekadar berfikir TTD (Things to Do)

Manusia mulia hatinya bersih. Manusia mulia memuliakan orang lain. Manusia mulia 1.Penyantun bersopan, 2. Memaafkan setiap orang saban malam sebelum tidur 3. Sentiasa bersedia tolong orang 4. Pemurah bersedekah 5. Menang dengan memenangkan orang lain 6. Bersyukur dan sabar ketika diuji 7. Merendah Diri dan senang bergaul dengan setiap lapisan manusia 8. Menghormati dan lebih dari itu memuliakan orang lain 9. Ingat Akhirat.

Peribadi sebenar setiap orang dapat diketahui menerusi kegemaran.

Orang yang berkeperibadian luhur, tentu selalu memiliki dua hal iaitu; Ghairah dan Kebaikan. Orang bisnes perlu belajar kemahiran berbual bual dengan orang berkedudukan. Orang bisnes juga perlu belajar bahasa bisnes yang sesuai. Ada 13 kemahiran berbual bual dengan orang bisnes.